Kuala Muda Naza Cuba Intai Peluang
UMPAMA mimpi indah, penyerang, Akmal Rizal Rakhli tidak mahukan perjalanan dalam kempen Piala Malaysia buat dirinya dan rakan sepasukan di Kuala Muda Naza berakhir di tangan Negeri Sembilan pada peringkat suku akhir.
Selepas menjaringkan gol kemenangan pada detik-detik terakhir untuk melayakkan diri ke suku akhir menerusi kejayaan dramatik 3-2 ke atas bekas pasukannya, Selangor pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, bekas peledak kebangsaan mahu meneruskan persembahan menakjubkan itu ke atas Negeri Sembilan.
“Kalau mengikut pengurusan, pasukan ini sudah melepasi sasaran, tetapi kami (pemain) mahu pergi lebih jauh.
“Melihatkan reputasi Negeri Sembilan yang memenangi semua perlawanan mereka untuk muncul juara kumpulan, sememangnya mereka adalah pilihan, tetapi kami akan berusaha habis-habisan berdepan mereka,” katanya.
Sungguhpun dianggap sudah melepasi tarikh luputnya, Akmal dilihat seperti mahu membuktikan sesuatu kepada mereka yang menafikan kelibatnya yang pernah mewarnai pentas antarabangsa suatu ketika dulu.
“Sudah tentu saya masih menyimpan cita-cita menyarung jersi kebangsaan, tetapi ia semua bergantung kepada jurulatih. Jurulatih sudah tentu mempunyai pilihannya sendiri. Apa yang saya mampu lakukan adalah untuk terus kekal cergas dan menampilkan persembahan terbaik di atas padang,” katanya yang menjaringkan tiga gol setakat ini dalam kempen Piala Malaysia.
Lupakan Berbulan Madu
PENGANTIN baru, Khalid Jamlus, boleh melupakan hasrat untuk berbulan madu lebih lama, kerana khidmatnya ditagih skuad Kelantan yang mahu menurunkan kesebelasan terkuat bagi menghadapi KL Plus pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, malam ini.
Penyerang utama skuad The Red Warrios itu hampir pasti beraksi dengan inai yang masih merah di jari selepas jurulatih, B Sathianathan, tidak mahu menanggung risiko ketika anak buahnya berarak ke ibu kota menentang KL Plus yang dianggap lawan sukar diduga itu.
Selain Khalid, Kelantan yang bakal turun dengan corak menyerang sudah pasti mempertaruhkan harapan kepada tiga lagi penggempur berbisanya, Mohd Nor Farhan, Che Hishamuddin Hassan dan kapten pasukannya yang kini di kemuncak prestasi, Indra Putra Mahayuddin.
“Kami akan bermain dengan berorientasikan serangan,” kata Sathia semalam. “Oleh itu, Khalid akan tetap diturunkan, tetapi saya perlu melihat tahap kecergasannya terlebih dahulu dan jika tidak memuaskan, saya mempunyai pilihan menggantikannya dengan penyerang muda, Nizad Ayub.”
Kelmarin, Khalid melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya, Zarina Zakaria, 29, di Klang Selangor dan tidak menyertai latihan bersama rakan sepasukannya sejak beberapa hari lalu.
Sathia yang baru sebulan mengambil alih tugas daripada jurulatih berbangsa Inggeris, Peter Butler, turut menafikan skuad bimbingannya akan mengamalkan corak bertahan dan mensasarkan keputusan seri sebagai bekalan sebelum perlawanan kedua di Kota Bharu, Sabtu ini.
“Kekuatan Kelantan selama ini adalah di posisi serangan, jadi kami akan bermain seperti biasa dan cuba untuk memperoleh keputusan positif,” katanya.
Bekas pengendali skuad kebangsaan itu juga sudah mengarahkan anak buahnya supaya berwaspada kerana berdasarkan prestasi terkini, KL Plus bukan lagi pasukan boleh diambil mudah.
Beliau menamakan penyerang lawan, Mohd Lot Abu Hassan dan pertahanan kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah sebagai individu yang boleh mengecewakan impian anak buahnya jika tidak diawasi.
“KL Plus mempamerkan persembahan berbeza berbanding Liga Super selepas mendapatkan beberapa pemain secara pinjaman. Kami menghormati kemampuan mereka tetapi pemain tidak perlu takut dan bermain seperti biasa,” katanya.
Negeri Sembilan Buru Gol

Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak
AYAM tambatan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, bukan sekadar mahu membantu pasukannya menang tapi mahukan kelebihan jaringan selesa dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuala Muda Naza, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.
Menurutnya, usaha mendapat bekalan yang selesa amat penting dalam memastikan misi mara ke saingan separuh akhir tidak terjejas.
“Dengan kelebihan bermain di halaman sendiri, misi kami bukan saja perlu menang tetapi perlu mendapatkan bekalan gol yang selesa kerana saingan suku akhir kedua pasti sukar apabila bermain di halaman lawan.
“Apa lagi kami pernah tewas kepada pasukan itu dalam aksi di Stadium Darulaman pada saingan Liga Super sebelum ini,” katanya.
Tonggak barisan depan Negeri Sembilan itu berazam untuk menjadi penyumbang utama bagi skuadnya mendapatkan kelebihan gol selepas dia tidak dapat melakukan jaringan dalam dua aksi terakhir peringkat kumpulan iaitu menentang Sarawak dan Terengganu.
Mohd Zaquan yang kini mengumpul enam gol, berharap persembahannya malam ini menjadi kerana sedar harapan yang disandarkan ke bahunya.
“Memang rasa terkilan tidak dapat menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir kumpulan dan sebab itu saya berazam tidak akan mensesiakan peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Dia turut berharap rakan sepasukannya dapat meneruskan rentak persembahan terbaik bagi menjamin kemenangan yang diharapkan.
Wan Jamak Nafi Kekuatan Negeri Sembilan Menurun
EKALIPUN sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 berbanding pada perlawanan pertama dengan jaringan besar, 8-0, Negeri Sembilan tetap berpuas hati kerana sasaran untuk membawa pulang tiga mata tercapai – sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia.
Malah jaringan tipis ke atas Sarawak yang sudah terkeluar lebih awal dari saingan lapan pasukan itu juga bukan petanda kekuatan Negeri Sembilan sudah menurun, kerana sasaran sebenar mereka hanyalah untuk mendapatkan mata kemenangan.
Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, berkata beliau tetap berpuas hati dengan persembahan pemain sekalipun sekadar mencatat kemenangan tipis kerana apa yang penting adalah kemenangan dan mengesahkan tempat ke suku akhir.
Katanya, fokusnya kini adalah untuk melengkapkan pusingan kedua menentang Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam esok dengan kemenangan sebelum menyusun strategi terbaik bagi saingan suku akhir yang lebih mencabar.
“Walaupun misi layak ke suku akhir Piala Malaysia sudah tercapai, Negeri Sembilan perlu mengekalkan persembahan cemerlang dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Terengganu, Selasa ini (malam esok), kerana kemenangan itu penting sebagai sebahagian daripada faktor meningkatkan lagi keyakinan diri pemain.
“Apa lagi ia beraksi di gelanggang sendiri yang seharusnya pemain dapat menunjukkan satu persembahan membanggakan bagi membuktikan reputasi pasukan yang terus cemerlang dengan lima kemenangan berturut-turut,” katanya semalam.
Kedah Mengharapkan Keajaiban

![]() |
DI atas kertas, laluan Kedah untuk ke mara suku akhir sangat tipis.
Malah, tidak keterlaluan andai dikatakan impian juara treble itu untuk berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik pada Piala Malaysia musim ini cukup mustahil.
Namun, tanpa mahu memikirkan masalah itu, skuad Kenari tetap meletakkan harapan dan mencari tuah untuk tidak tercicir dalam misi merebut piala berprestij itu.
Jurulatihnya, Mohd. Azraai Khor Abdullah mahu anaknya buahnya terus berjuang kerana saingan masih berbaki satu perlawanan iaitu menentang Pulau Pinang di tempat lawan esok.
Katanya, dia sedar laluan pasukannya adalah sukar kerana terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan lain daripada empat lagi kumpulan.
“Peluang Kedah untuk mara (suku akhir) perlu bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan lain, namun dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Kita masih mengharap,” katanya.
Kelmarin, Kedah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan, iaitu pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir.
Jaringan kemenangan skuad Hijau Kuning dijaringkan Sabree Abu pada minit ke-45.
Menyentuh peluang Kedah menentang skuad Pulau Pinang, Azraai berkata, pasukannya mengharapkan kemenangan, namun sedar mereka bakal berdepan saingan sengit lebih-lebih lagi akan beraksi di tempat lawan.
“Saya harap barisan serangan dapat melakukan yang terbaik dengan membuat jaringan,” katanya.
Kedah perlu menang dengan jaringan besar bagi membolehkan mereka mengutip 10 mata sekali gus mara ke separuh akhir.
Lima pasukan sudah mengesahkan tempat ke suku akhir iaitu KL Plus, Negeri Sembilan, Johor FC, Selangor dan Kelantan manakala Terengganu pula hanya perlu seri untuk layak.
Dua tempat lagi bakal menjadi rebutan Perlis, Perak, KM Naza, Kedah dan Pulau Pinang selaku naib juara terbaik setiap kumpulan.
Empat Pasukan Dalam Debaran
Perlu nanti 90 minit berakhir untuk rebut dua tiket terakhir
SEANDAI pusingan terakhir peringkat kumpulan, Piala Malaysia, malam esok berlangsung secara dramatik seperti kelmarin, penyokong empat pasukan yang kini hangat merebut dua tiket terakhir, sudah pasti tidak dapat duduk diam sehingga wisel penamat ditiup.
Perlis, Perak, Kuala Muda Naza dan Kedah kini menantikan 90 minit untuk menentukan nasib, sama ada mereka akan mengiringi enam pasukan yang sudah mengesahkan tempat masing-masing, kelmarin.
Walaupun dilihat sudah berkubur, juara bertahan, Kedah kembali bernafas selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Kelantan, dibantu keputusan seri 1-1 Kuala Lumpur dan Perak yang bererti mereka masih berpeluang meraih slot naib juara terbaik.
Namun, impian itu sekadar angan-angan, melihatkan kemenangan Perlis dan Perak sudah cukup meninggalkan Hijau Kuning berputih mata sungguh pun jika meraih tiga mata penuh menentang Pulau Pinang.
Kemenangan buat Perlis dan Perak juga akan menghancurkan satu lagi pasukan berpangkalan di Kedah, KM Naza yang dibebani misi mengutip mata penuh menentang Selangor pada perlawanan terakhir di tempat sendiri.
KM Naza pasti mengharapkan Selangor tidak terlalu bersusah payah pada perlawanan itu nanti selepas mengesahkan tempat mereka.
Perlis pula akan bertandang ke KL Plus yang sudah satu kaki ke kelompok lapan terakhir, disertai ingatan kekalahan 1-2 kepada lawan sama sebelumnya. Perak pula melayan Johor FC yang hanya perlu mengelak kalah untuk sah turut ke peringkat sama.
Bagi ketua jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim, dia tetap optimistik Singa Utara bakal muncul antara lapan pasukan di suku akhir piala paling berprestij itu.
Kekalahan lalu tidak sesekali melemahkan semangat dan komitmen anak buahnya untuk terus memburu mata.
Perlawanan Pembalasan – Wenger

LONDIN – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mahu anak-anak buahnya mempamerkan corak permainan menyerang apabila turun berdepan Manchester United pada aksi Liga Perdana England, Sabtu ini.
Ini kerana, Wenger mahu membalas dendam ekoran kekalahan agregat 1-4 mereka kepada United pada separuh akhir Liga Juara-Juara musim lepas.
Namun kali ini, Arsenal akan berkunjung ke Old Trafford dengan rekod bersih empat kemenangan berturut-turut termasuk menjamin slot ke Liga Juara- Juara dengan kemenangan 3-1 ke atas Celtic awal pagi semalam.
“Dalam Liga Juara-Juara, kami beraksi terlalu pasif tetapi dalam liga, kami lebih banyak menyerang. Ia lebih kepada mental daripada taktikal,” kata Wenger.
“Saya gembira untuk beraksi di sana (Old Trafford) kerana ia adalah pertemuan penting, satu ujian besar. Kami pasti mahu mempunyai tahap keyakinan yang tinggi apabila beraksi di sana.
“Menewaskan Celtic adalah satu cara terbaik untuk melakukan persiapan. Kami sungguh teratur dan nampak hebat ketika menyerang dan menjaringkan gol.
“Namun, kami masih perlu memperbaiki prestasi dan mahu menunjukkan yang kami banyak meningkat sejak kebelakangan ini apabila turun berdepan Manchester United nanti.”
Dalam pada itu, Wenger akan memberi peluang kepada kapten, Cesc Fabregas membuktikan kecergasannya pada saat- saat akhir sebelum dia dibenarkan beraksi di Old Trafford.
Robin van Persie dan Andrey Arshavin yang masuk sebagai pemain gantian pada aksi menentang Celtic mungkin akan kembali berada dalam kesebelasan utama Arsenal.
“Kami perlu pulihkan semula kecergasan kami kerana United tidak bermain pertengahan minggu ini,” kata Wenger.
Perangcangan Karathu Jadi Taruhan Perak

JURULATIH Perak, M. Karathu berkemungkinan hilang jawatannya jika gagal membawa skuad Seladang mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Pada mesyuarat majlis Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) di Ipoh baru-baru ini, badan induk itu telah menetapkan sasaran agar Karathu membawa Perak ke suku akhir.
Naib Presiden Pafa, Khairuddin Ahmad membayangkan bahawa Pafa akan mendapatkan khidmat jurulatih baru pada musim akan datang jika Karathu gagal mencapai sasaran tersebut.
“Dalam mesyuarat majlis Pafa yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum ini, kami telah menetapkan sasaran Perak layak ke suku akhir Piala Malaysia.
“Jadi, kami berharap agar skuad Perak dapat merealisasikan sasaran tersebut,” kata Khairuddin.
Bagaimanapun, sasaran yang ditetapkan oleh Pafa itu akan menjadi cabaran getir kepada Karathu kerana skuad Seladang kini dihimpit beberapa masalah.
Dakwaan yang mengatakan terdapat beberapa pemain Perak menjual perla- wanan selain kerapuhan benteng pertahanan merupakan antara masalah yang perlu ditangani dengan segera oleh Karathu.
Pada kempen Piala Malaysia yang bermula 26 September depan, Perak diletakkan dalam Kumpulan C bersama Johor FC, UPB-My Team dan Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Perak muncul juara Piala Malaysia sebanyak tujuh kali iaitu pada edisi 1926, 1931, 1957, 1967, 1970, 1998 dan 2000.
Gelaran selaku naib juara Piala Malay- sia pula ialah sebanyak 11 kali iaitu bagi edisi 1923, 1951, 1959, 1960, 1961, 1964, 1971, 1972, 1974, 2001 dan 2007.
UEFA Harus Pertimbangkan
![]() |
LONDON – Pemain Celtic mendesak Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menghukum penyerang Arsenal, Eduardo (gambar) yang dianggap sebagai penipu.
Eduardo dilihat sengaja menjatuhkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti ketika Arsenal menang 3-1 dalam aksi penentuan kedua Liga Juara-Juara di Emirates awal pagi semalam.
“Jika ia jelas dilihat dalam rakaman televisyen, UEFA perlu mengambil tindakan ke atas Eduardo dan menghukumnya,” kata bintang Celtic, Massimo Donati.
“Saya rasa dia sepatutnya digantung dua perlawanan. Ia bukan kesalahan penalti.
“Eduardo tidak berkata apa-apa apabila saya tanya mengenai insiden itu. Dia hanya meletakkan jarinya ke bibir. Tidak bagus apabila seorang pemain melaku- kannya.
“Lebih baik kamu jujur dalam hidup kamu tetapi se- setengah orang tidak seperti itu.”
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger pula berkata: “Saya percaya ia bukan penalti tetapi saya tidak pasti sama ada penjaga gol Celtic (Artur Boruc) menyentuh Eduardo dengan lutut kanannya atau tidak.”
Menjadikah Amukan The Red Devils?
![]() |
|
BERBATOV mahu pastikan United merangkul gelaran Liga Juara-Juara musim ini.
|
LONDON – Penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov optimis The Red Devils akan tampil lebih bersema- ngat bagi mengharungi kempen Liga Juara-Juara musim ini.
Selepas dikecewakan Barcelona apabila tewas 0-1 pada final Liga Juara-Juara di Rom musim lalu, Berbatov percaya, skuad United kali ini sudah bersedia untuk kembali merampas trofi Eropah.
Berbatov turut memberi amaran kepada kelab Eropah lain bahawa mereka sepatutnya mula bimbang untuk berdepan The Red Devils kali ini.
“Setelah apa yang berlaku musim lepas, kami kini lebih berazam untuk mencipta kejayaan dalam kempen Eropah.
“Tiada siapa akan suka apabila berjumpa kami,” kata Berbatov.
Berbatov masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika pertemuan di Rom itu.
“Bagi saya, kekalahan di Rom amat mengecewakan. Saya tidak bersama United ketika pasukan ini menjuarai gelaran Eropah pada musim sebelumnya.
“Jadi musim ini saya tidak mahu kekecewaan itu berulang lagi,” kata penyerang kelahiran Bulgaria itu.


