Ticket Hotline

Irfan Senyum Lega

KEHADIRAN semula pemain yang digantung dan mereka yang sebelum ini cedera, jelas melegakan skuad Perlis dalam mengharungi misi penting memastkan tiket ke final apabila menentang Selangor dalam separuh akhir kedua, Sabtu ini.

Biarpun gagal mendapatkan bekalan selesa pada pertemuan pertama apabila seri 1-1 di Kangar, Sabtu lalu, jurulatih skuad Singa Utara, Irfan Bakti Abu Salim, gembira pilihannya kini semakin banyak selepas mereka yang digantung dan cedera, sudah boleh diturunkan.

Mereka yang terpaksa diketepikan sebelum ini adalah Nizaruddin Yusoff dan Amzar Junaidi Abdul Jalil yang masing-masing menjalani penggantungan, serta K Soley dan Mohd Rizduan Othman yang cedera.

“Situasi ini menambah keyakinan saya dengan kemampuan Perlis untuk memastikan tiket ke final pada 25 April inI.

“Ini juga berdasarkan prestasi pemain saya selain kemampuan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan berturut-turut termasuk tiga dalam aksi Piala FA,” kata Irfan Bakti.

Pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Utama Negeri, Kangar, 7 April lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan tuan rumah mendahului seawal minit kedua menerusi Mohd Shazwan Zainol sebelum R Surendran menyamakan kedudukan pada minit ke-34.

Pemenang perlawanan itu akan menentang pemenang pertemuan antara Negeri Sembilan dan Kelantan. Negeri Sembilan menang 1-0 dalam perlawanan pertama yang dicemari insiden serangan penjaga gol Kelantan, Halim Napi ke atas Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas perlawanan serta keganasan penonton.

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

Ticket Hotline