KAFA Dapat Surat
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mungkin dikenakan hukuman daripada FAM.
Tindakan Annuar membuat kenyataan kepada media kelmarin berhubung prestasi pengadil yang dikatakan menjadi punca kepada kekecohan penonton pada perlawanan antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, Kota Bharu, Selasa lalu ternyata tidak disenangi FAM.
Lantaran itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Annuar semalam berhubung tindakannya membuat kenyataan tersebut.
“Kita minta beliau (Annuar) kemukakan penjelasan terhadap kenyataan yang dikeluarkannya itu.
“Beliau perlu berbuat demikian sebelum 12 tengah hari 6 April ini (Isnin),” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Ditanya sama ada Annuar bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin FAM, Azzuddin berkata, keputusan mengenainya hanya akan dibuat selepas pihaknya menilai alasan yang diberikan Annuar dalam surat balas itu nanti.
Sementara itu, Jawatankuasa Disiplin FAM yang turut bermesyuarat petang semalam menjatuhkan hukuman terhadap seorang pegawai dan tiga pemain Piala Presiden.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FAM, Kamaruddin Abdullah berkata, pegawai dari Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa), Richard Sinapa didenda RM2,500 dan digantung sementara kerana menyerang, menolak dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil pada aksi Piala FA antara Melaka dan Kedah, 8 April tahun lalu.
“Pemain Piala Presiden PKNS, Zawawi Ramli digantung tiga bulan dan denda RM750 kerana melakukan flying kick terhadap pemain lawan pada perlawanan menentang MBJB pada 12 Mac lalu.
“Pemain Piala Presiden Melaka, Faizal Nasir digantung tiga perlawanan dan denda RM400 kerana meludah pemain lawan.
“Pemain Piala Presiden Sabah, Faris Azlan Mat Isa digantung tiga perlawanan dan denda RM750 kerana menyerang dan memukul pemain lawan pada aksi antara Melaka dan Sabah pada 16 Mac lalu,” kata Kamaruddin.