Kuala Muda Naza Cuba Intai Peluang
UMPAMA mimpi indah, penyerang, Akmal Rizal Rakhli tidak mahukan perjalanan dalam kempen Piala Malaysia buat dirinya dan rakan sepasukan di Kuala Muda Naza berakhir di tangan Negeri Sembilan pada peringkat suku akhir.
Selepas menjaringkan gol kemenangan pada detik-detik terakhir untuk melayakkan diri ke suku akhir menerusi kejayaan dramatik 3-2 ke atas bekas pasukannya, Selangor pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, bekas peledak kebangsaan mahu meneruskan persembahan menakjubkan itu ke atas Negeri Sembilan.
“Kalau mengikut pengurusan, pasukan ini sudah melepasi sasaran, tetapi kami (pemain) mahu pergi lebih jauh.
“Melihatkan reputasi Negeri Sembilan yang memenangi semua perlawanan mereka untuk muncul juara kumpulan, sememangnya mereka adalah pilihan, tetapi kami akan berusaha habis-habisan berdepan mereka,” katanya.
Sungguhpun dianggap sudah melepasi tarikh luputnya, Akmal dilihat seperti mahu membuktikan sesuatu kepada mereka yang menafikan kelibatnya yang pernah mewarnai pentas antarabangsa suatu ketika dulu.
“Sudah tentu saya masih menyimpan cita-cita menyarung jersi kebangsaan, tetapi ia semua bergantung kepada jurulatih. Jurulatih sudah tentu mempunyai pilihannya sendiri. Apa yang saya mampu lakukan adalah untuk terus kekal cergas dan menampilkan persembahan terbaik di atas padang,” katanya yang menjaringkan tiga gol setakat ini dalam kempen Piala Malaysia.


