Kuasa Sepanyol
PENYERANG Sepanyol, Fernando Torres (atas) bersaing dengan pertahanan Afrika Selatan, Tsepo Masilela di Stadium Free State kelmarin. BLOEMFONTEIN – Selepas mencatat rekod baru dunia dengan kejayaan meraih 15 kemenangan berturut-turut, Sepanyol kini mula fokus untuk melakar satu lagi rekod dunia dalam bola sepak. Kelmarin, skuad kendalian itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Afrika Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Konfederasi, sekali gus mengatasi rekod 14 kemenangan berturut-turut yang dikongsi Brazil, Australia dan Perancis. Kemenangan di Stadium Free State itu juga membolehkan Sepanyol menyamai rekod 35 perlawanan tanpa kalah milik Brazil yang dilakukan dari tahun 1993 hingga 1996. Namun, Sepanyol yang sudahpun mengesahkan tempat di separuh akhir Piala Konfederasi masih berpeluang untuk mengatasi rekod itu untuk satu lagi sejarah baru dalam bola sepak. “Kami sedar yang kami telah mencatat sejarah baru dalam bola sepak dunia,” jelas penyerang Sepanyol, Fernando Torres. “Namun, kami sebenarnya mahu lebih daripada itu.” Pada perlawanan kelmarin, David Villa dan Fernando Llorente masing-masing menjaringkan satu gol pada babak kedua untuk menghadiahkan kemenangan ketiga buat Sepanyol pada kempen Piala Konfederasi. Kemenangan itu membolehkan Sepanyol memimpin Kumpulan A dengan sembilan mata dan layak ke separuh akhir selaku juara kumpulan. “Saya sangat gembira dengan apa yang diraih pasukan ini dan mereka benar-benar pemain yang hebat,” jelas jurulatih Sepanyol, del Bosque. “Memenangi 15 perlawanan berturut-turut adalah sesuatu yang luar biasa dan kami akan terus mara ke hadapan.” Untuk rekod, kejayaan Sepanyol mencatat 15 kemenangan berturut-turut bermula sejak mereka menewaskan Rusia 3-0 pada separuh akhir Euro 2008 tahun lalu