Ticket Hotline

Milik Siapa Gelaran Liga Super


KAPTEN Selangor, Amri Yahyah (kanan) bersaing dengan dua pemain UPB-My Team pada aksi Liga Super kelmarin.


HANYA Perlis dan Selangor berpeluang untuk muncul juara Liga Super musim 2009.

Itu andaian kasar kerana saingan liga masih ada tiga perlawanan lagi untuk diharungi sebelum melabuhkan tirainya.

Setakat ini, Selangor masih memimpin kedudukan liga dengan 54 mata diikuti Perlis yang menduduki tempat kedua dengan 52 mata.

Malam kelmarin, kedua-dua pasukan menang ke atas lawan masing-masing.

Selangor menewaskan UPB- MyTeam 4-1 sementara Perlis mengecewakan Johor FC 1-0.

Pasukan di tangga ketiga, Kelantan sudah mengumpul 43 mata dan mereka tidak mampu untuk memintas dua pasukan teratas.

Kedah pula yang menduduki tangga keempat dengan baki empat perlawanan mampu mengumpul 54 mata maksimum jika menang baki empat perlawanan itu tetapi dilihat memiliki peluang tipis.

Ini kerana Selangor pasti tidak menghadapi masalah memungut mata penuh apabila bertemu Kuala Muda Naza malam esok diikuti PDRM dan Pahang.

Begitu juga Perlis yang pasti dapat mengutip mata ketika berdepan Perak malam esok serta KL Plus dan PDRM.

Siapa pun juara, sama ada Selangor atau Perlis, kedua-dua pasukan pasti akan menjadi wakil negara ke Piala AFC 2010 yang dipilih berdasarkan juara Liga Super 2009 dan juara Piala FA 2009 yang sudah pun dimenangi Selangor.

Persoalan siapa yang bakal muncul juara Liga Super 2009 hanya terletak di tangan Selangor dan Perlis sendiri kerana mana-mana pasukan yang tercicir mata pada baki tiga aksi ini pasti kempunan bergelar juara.

Selangor belum pernah merasai nikmat selaku juara Liga Super sejak ia diperkenalkan pada 2004 manakala Perlis pernah menjuarainya pada musim 2005.

Sementara itu, bagi perebutan tangga tercorot Liga Super pula, pasukan di tangga ke-14, PDRM sudah sah akan beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

Dengan hanya memiliki tiga mata, PDRM sudah tidak mampu mengatasi dua pasukan di atas mereka iaitu Pulau Pinang (18 mata) dan Pahang (14 mata).

Lantas, hanya satu lagi slot selamat iaitu kedudukan tangga ke-12 masih menjadi rebutan antara Pulau Pinang dan Pahang.

Pada baki tiga perlawanan, Pulau Pinang akan bertemu Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala Pahang akan bertemu Terengganu, Perak dan Selangor.

Jika Pahang gagal mengelak daripada kedudukan kedua tercorot Liga Super musim ini, mereka akan mencipta sejarah tersendiri untuk buat kali pertamanya tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan.

Itu pun jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengubah format liga.

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

Ticket Hotline