NS Cuba Rebut Takhta Liga Super
PEMAIN tengah Negeri Sembilan, Shukor Adan menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan di Kota Bharu, Selasa lalu sebagai bukti pasukan itu masih berada dalam saingan merebut kejuaraan Liga Super musim ini.
Kapten skuad kebangsaan itu turut menyifatkan kematangan pemain muda pasukannya mengharungi tekanan beraksi di Kota Bharu sebagai faktor utama penyumbang kemenangan penting kelmarin.
“Ia adalah kemenangan penting buat kami kerana kini kami kembali berada di kelompok empat pasukan teratas, sekali gus membuktikan Negeri Sembilan masih mampu mencabar.
“Bagi saya, pujian harus juga diberikan kepada pemain muda kami kerana bukan mudah untuk berdepan Kelantan di tempat mereka yang dibanjiri penyokong fanatik.
“Tetapi semua pemain muda kami tidak menghampakan apabila tetap mampu beraksi dengan tenang walaupun beberapa kali berdepan provokasi penyokong lawan dan ini adalah kemenangan yang akan menyuntik semula semangat kami,” kata Shukor.
Namun, dia berharap rakan sepasukannya mampu mengekalkan aksi konsisten selepas ini memandang jurang antara lima pasukan teratas liga kini tidak begitu jauh.
Shukor mahu rakan sepasukannya menganggap setiap perlawanan adalah penting kerana keputusannya mampu menentukan kedudukan lima pasukan teratas di penghujung musim.
“Saingan musim ini begitu sengit sehingga tidak banyak perbezaan di antara lima pasukan teratas. Oleh itu, kami perlu mengekalkan tahap permainan konsisten selepas ini.
“Kami tidak boleh lagi memandang mudah setiap perlawanan selepas ini dan kami juga harus mengutip sebanyak mata yang boleh selepas ini jika benar-benar mahu menjulang kejuaraan liga, ” katanya lagi.