Wan Jamak Nafi Kekuatan Negeri Sembilan Menurun
EKALIPUN sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 berbanding pada perlawanan pertama dengan jaringan besar, 8-0, Negeri Sembilan tetap berpuas hati kerana sasaran untuk membawa pulang tiga mata tercapai – sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia.
Malah jaringan tipis ke atas Sarawak yang sudah terkeluar lebih awal dari saingan lapan pasukan itu juga bukan petanda kekuatan Negeri Sembilan sudah menurun, kerana sasaran sebenar mereka hanyalah untuk mendapatkan mata kemenangan.
Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, berkata beliau tetap berpuas hati dengan persembahan pemain sekalipun sekadar mencatat kemenangan tipis kerana apa yang penting adalah kemenangan dan mengesahkan tempat ke suku akhir.
Katanya, fokusnya kini adalah untuk melengkapkan pusingan kedua menentang Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam esok dengan kemenangan sebelum menyusun strategi terbaik bagi saingan suku akhir yang lebih mencabar.
“Walaupun misi layak ke suku akhir Piala Malaysia sudah tercapai, Negeri Sembilan perlu mengekalkan persembahan cemerlang dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Terengganu, Selasa ini (malam esok), kerana kemenangan itu penting sebagai sebahagian daripada faktor meningkatkan lagi keyakinan diri pemain.
“Apa lagi ia beraksi di gelanggang sendiri yang seharusnya pemain dapat menunjukkan satu persembahan membanggakan bagi membuktikan reputasi pasukan yang terus cemerlang dengan lima kemenangan berturut-turut,” katanya semalam.