Ticket Hotline

FA Cup 2009 Fixtures 25/04/2009 FINAL

HOME AWAY
KELANTAN VS SELANGOR

Padah Kijang, Beraksi Di Stadium Berkecuali

PEMINAT bola sepak Kelantan akhirnya menerima padah gara-gara sikap keterlaluan dan ‘mentaliti kampung’ mereka sendiri.

Selepas bertindak ganas kerana enggan menerima kekalahan 0-1 kepada Negeri Sembilan pada separuh akhir pertama Piala FA kelmarin, peminat Kelantan akhirnya kempunan untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka apabila berdepan Selangor, Sabtu ini.

Ini kerana perlawanan Liga Super yang sepatutnya diadakan di Stadium Sultan Muhamad ke-IV itu telah dipinda ke Stadium Nasional Bukit Jalil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas faktor keselamatan.

Malah, ekoran tindakan ganas peminat fanatik skuad Kijang itu kelmarin, mereka juga mungkin akan terus kempunan untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka itu pada perlawanan berikutnya.

Ada dua kemungkinan yang bakal menanti pasukan Kelantan iaitu sama ada perlawanan yang melibatkan mereka di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV akan diadakan dalam suasana yang kosong atau pun mungkin dipinda ke gelanggang berkecuali.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengakui selain denda, salah satu di antara dua hukuman ini tidak mustahil dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) apabila Jawatankuasa Disiplin bermesyuarat petang ini.

“Buat masa ini kita (FAM) tidak tahu lagi apakah hukuman yang akan dikenakan terhadap Kafa di atas tindakan ganas penyokong fanatik mereka itu,” kata Azzuddin kepada Kosmo! semalam.

“Salah satu di antara dua hukuman ini juga tidak mustahil bakal dikenakan ke atas Kafa. Tapi, apa yang saya boleh jamin ialah setiap hukuman yang dikenakan oleh FAM dinilai berdasarkan betapa seriusnya kesalahan dan impak sesuatu insiden itu.

“Apa pun, saya tidak boleh beritahu hari ini (semalam), kita tunggu saja keputusan JKD yang akan bermesyuarat petang esok (hari ini),” tambah Azzuddin lagi.

Dalam insiden rusuhan yang berlaku di luar Stadium Sultan Muhammad ke-IV itu, 10 buah kenderaan rosak dengan cerminnya dipecahkan termasuk sebuah trak polis yang diterbalikkan sebelum dibakar oleh penyokong ganas Kelantan.

Malah, lebih menyedihkan, suasana di atas padang ketika perlawanan itu juga tercemar dengan sesi sepak terajang di antara pemain Kelantan dan Negeri Sembilan sebaik saja permainan ditamatkan.

Semuanya dikatakan berpunca daripada tindakan penjaga gol tuan rumah, Halim Napi yang menumbuk dan memijak pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak, sekali gus mencetuskan suasana tegang sebelum dileraikan pegawai dan pemain kedua-dua pasukan.

“Saya amat kecewa dengan sikap dan mentaliti sesetengah peminat fanatik ini. Mereka sepatutnya menerima hakikat kekalahan pasukan mereka, bukannya mengamuk seperti ini,” kata Azzuddin.

“Di mana semangat kesukanan mereka? Janganlah kerana mentaliti kita yang kampung ini, orang lain yang tidak terlibat terpaksa menerima akibatnya juga.

“FAM terpaksa bertindak tegas dalam perkara ini supaya ia menjadi pengajaran kepada peminat dan pasukan lain pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Halim Penyebab Rusuhan

TINDAKAN agresif penjaga gol Kelantan, Mohd. Halim Napi menyerang pemain Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zakuan Radzak sejurus selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA berakhir didakwa menjadi punca berlaku kekecohan di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu berakhir, malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, semangat penyokong fanatik Kelantan didakwa bangkit selepas tindakan Mohd. Halim itu sehingga sanggup melakukan rusuhan di luar stadium.

Menurutnya, kawalan keselamatan pada sepanjang perlawanan itu berlangsung terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

Katanya, kekecohan mula berlaku selepas perlawanan berakhir pada pukul 10.50 malam apabila seramai kira-kira 3,000 penyokong Kelantan yang juga dipercayai masih tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan separuh akhir pertama Piala FA itu menentang Negeri Sembilan, pasukan yang turut menewaskan mereka 2-1 pada saingan Liga Super pada 31 Mac lalu.

“Anggota polis yang diketuai Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah mengambil masa selama satu jam menasihatkan penyokong-penyokong Kelantan supaya bersurai.

“Sebaliknya penyokong Kelantan bertindak dengan lebih ganas apabila membaling objek keras seperti batu, besi, kayu dan botol air minuman kepada anggota polis.

“Malah kejadian menjadi lebih kecoh apabila mereka bertindak menterbalikkan sebuah trak polis sebelum membakar kenderaan tersebut dan merosakkan sebuah lagi kereta Proton Wira polis,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, semalam.

Pada perlawanan itu, Kelantan tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan hasil jaringan penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha pada minit ketujuh.

Selain itu, Rahim berkata, perusuh itu juga merosakkan lapan buah kenderaan lain termasuk kereta milik Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan memecah cermin stadium.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah kerugian dalam kejadian itu masih dalam siasatan.

Menurutnya, seramai 300 anggota polis termasuk anggota Polis Simpanan Persekutuan (PSP) terlibat mengawal keselamatan di stadium berkenaan.

“Polis terpaksa melepaskan sebanyak 20 das tembakan gas pemedih mata untuk melerai perusuh tersebut.

“Langkah tersebut diambil untuk mengelakkan penyokong Kelantan itu bertindak lebih ganas.”

Abdul Rahim berkata, polis berjaya meleraikan penyokong Kelantan pada pukul 1.45 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, beliau memberitahu, dua anggota polis berusia 24 dan 29 tahun cedera selepas dibaling dengan objek keras dan dipukul serta dipijak oleh penyokong Kelantan.

Menurutnya, seorang peniaga berusia 18 tahun juga cedera akibat terkena tembakan gas pemedih mata.

Mereka mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Sementara itu, tambahnya, polis dijangka mengambil keterangan daripada Mohd. Halim bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Leka Bawa Padah Pada Perlis

KELEKAAN dan kelalaian pemain Perlis menjadi punca kegagalan pasukan itu mendapat bekalan selesa pada separuh akhir pertama Piala FA bertemu Selangor di Stadium Utama Kangar, malam kelmarin. Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh Skuad Singa Utara daripada hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 pada perlawanan yang agak tegang di kalangan pemain kedua-dua pasukan itu. Ketua jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim berkata, dia kecewa dengan aksi pemain yang telah ‘menjerut tengkuk sendiri’ ketika menerima serangan lawan. Katanya, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan jaringan tempat lawan yang diperoleh Selangor akan memberi kelebihan kepada pasukan terbabit. “Masalah ini mungkin timbul akibat kekurangan pemain untuk dibariskan dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Ditanya mengenai suasana tegang sehingga membenarkan pengadil perlawanan mengeluarkan 10 kad kuning dan dua kad merah menurutnya, dia merasa kecewa dengan tindakan pemain yang gagal mengawal emosi dan disiplin. “Pemain perlu mengawal emosi mereka, jangan terlalu ikutkan emosi kerana kita masih ada 90 minit untuk dilalui. “Nasib baiklah Nizaruddin Yusoff yang turut menerima kad merah dapat kembali beraksi dalam perlawanan kedua di Shah Alam kerana tempoh pergantungan akan habis dalam Liga Super,” ujarnya. Irfan memberitahu, pasukannya yang akan melalui perlawanan kedua di tempat lawan tidak akan tunduk sebaliknya akan terus menyerang bagi memperoleh tiga mata penuh sekali gus menempah tempat ke perlawanan akhir.

FA Cup 2009 Fixtures 18/04/09 Semi Final (2nd Leg)

HOME AWAY
N.SEMBILAN VS KELANTAN
SELANGOR VS PERLIS

FA Cup

fa-cup1
Official vote to campaign TM Piala FA 2007/2008 were held with batch 30 team from the super league, Liga Premier and Liga FAM intend to deep competition who use format match reciprocal defeated dead.4 team from Liga FAM competition participate TM Piala FA 07/2008 this time is MP Muar FC’s team, Kor RAMD, KSK Tambun Tulang and PBD K Terengganu or better known with the name T-Team.First round match will be held by Tuesday 19 Febuari 2008 while second leg match by Tuesday 4th of March 2008

resultsfixtures

Ticket Hotline