Ticket Hotline

Lupakan Berbulan Madu

PENGANTIN baru, Khalid Jamlus, boleh melupakan hasrat untuk berbulan madu lebih lama, kerana khidmatnya ditagih skuad Kelantan yang mahu menurunkan kesebelasan terkuat bagi menghadapi KL Plus pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, malam ini.

Penyerang utama skuad The Red Warrios itu hampir pasti beraksi dengan inai yang masih merah di jari selepas jurulatih, B Sathianathan, tidak mahu menanggung risiko ketika anak buahnya berarak ke ibu kota menentang KL Plus yang dianggap lawan sukar diduga itu.

Selain Khalid, Kelantan yang bakal turun dengan corak menyerang sudah pasti mempertaruhkan harapan kepada tiga lagi penggempur berbisanya, Mohd Nor Farhan, Che Hishamuddin Hassan dan kapten pasukannya yang kini di kemuncak prestasi, Indra Putra Mahayuddin.

“Kami akan bermain dengan berorientasikan serangan,” kata Sathia semalam. “Oleh itu, Khalid akan tetap diturunkan, tetapi saya perlu melihat tahap kecergasannya terlebih dahulu dan jika tidak memuaskan, saya mempunyai pilihan menggantikannya dengan penyerang muda, Nizad Ayub.”

Kelmarin, Khalid melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya, Zarina Zakaria, 29, di Klang Selangor dan tidak menyertai latihan bersama rakan sepasukannya sejak beberapa hari lalu.

Sathia yang baru sebulan mengambil alih tugas daripada jurulatih berbangsa Inggeris, Peter Butler, turut menafikan skuad bimbingannya akan mengamalkan corak bertahan dan mensasarkan keputusan seri sebagai bekalan sebelum perlawanan kedua di Kota Bharu, Sabtu ini.

“Kekuatan Kelantan selama ini adalah di posisi serangan, jadi kami akan bermain seperti biasa dan cuba untuk memperoleh keputusan positif,” katanya.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu juga sudah mengarahkan anak buahnya supaya berwaspada kerana berdasarkan prestasi terkini, KL Plus bukan lagi pasukan boleh diambil mudah.

Beliau menamakan penyerang lawan, Mohd Lot Abu Hassan dan pertahanan kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah sebagai individu yang boleh mengecewakan impian anak buahnya jika tidak diawasi.

“KL Plus mempamerkan persembahan berbeza berbanding Liga Super selepas mendapatkan beberapa pemain secara pinjaman. Kami menghormati kemampuan mereka tetapi pemain tidak perlu takut dan bermain seperti biasa,” katanya.

Pertarungan Maruah


INDRA PUTRA MAHAYUDDIN (tengah) pikul tugas getir untuk pastikan Kelantan meraih tiga mata penuh di Kuala Terengganu malam ini.




JIKA diukur daripada momentum empat kemenangan sebelum ini dan terbaru membenam cabaran Perak 4-0, kehadiran Kelantan di Kuala Terengganu malam ini pastinya menggamit kerisauan kem Sang Penyu.

Walaupun ada yang beranggapan Sang Kijang sudah terlambat untuk memburu takhta Liga Super tetapi anak-anak buah Peter James Butler mahukan lebih daripada itu.

Kemenangan di Kuala Terengganu pastinya menjadi kemenangan moral kepada Kelantan yang bakal turun berdepan Kedah pada 11 Julai depan pada perlawanan penutup tirai Liga Super di laman sendiri.

Penolong jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha berkata, pasukannya perlu meneruskan rentak permainan seperti yang dipamerkan pada aksi menentang Perak, Sabtu lalu.

Menurutnya, kemenangan di Kuala Terengganu sangat penting dan semua pemain sudah memahami apa yang perlu mereka lakukan untuk itu.

“Jika berjaya menewaskan Terengganu di tempat mereka, ia adalah suatu yang menakjubkan dan kita tahu tugas itu agak sukar namun, tidak mustahil untuk dilakukan.

“Apabila pemain turun dengan semangat juang yang tinggi dan mereka bekerja keras untuk menang, kita tidak gentar untuk turun menentang sesiapa pun,” katanya ketika dihubungi semalam

Tambahnya, dalam keghairahan mencari mata penuh, pemain juga perlu berwaspada dengan ancaman Terengganu kerana mereka memiliki ramai pemain berkualiti.

Hashim turut menamakan beberapa pemain yang perlu diberi perhatian oleh anak-anak buahnya supaya mereka tidak pulang kosong ke Kota Bharu.

“Ismail Faruqi dan Ashaari Shamsuddin mungkin akan memusnahkan impian kita jika mereka diberikan ruang untuk bergerak kerana kedua-dua pemain ini memiliki kualiti dan sangat lincah.

“Badri (Radzi) pula perlu bijak menguasai bahagian tengah kerana Terengganu mempunyai Tengku Hazman Raja Hassan dan Zairo Anuar (Zailani),” ujarnya.

Sementara itu, Hashim turut memuji semangat yang ditunjukkan semua pemain Kelantan yang ketika ini ‘memeningkan’ pihak pengurusan apabila masing-masing bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Kelantan, Terengganu dan Perak Menang


PEMAIN Terengganu, Abd Manaf Mamat (kanan) berebut bola dengan pemain Johor FC, Md Nurul Azuwan Roya pada saingan Liga Super di di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. Terengganu menang 3-2.
Hajat Kedah catat tiga mata tidak kesampaian tewas 1-0 kepada Perak

PERAK meraih kemenangan semangat bagi menamatkan badi lima kekalahan berturut-turut untuk bangkit bagi mengaibkan pasukan di tangga keempat, Kedah 1-0, keputusan yang nyata melegakan jurulatih M Karathu.

Kata-kata semangat di bilik persalinan, nyata membangkitkan semangat pemain Perak apabila berjaya berada di depan pada minit ke-47 menerusi gol Razali Umar Kandasamy.

Dia yang tidak dikawal, berjaya mencuri bola daripada kaki Mohd Sabri Md Abu sehingga memaksa penjaga gol Kedah, Md Helmi Eliza Alias, meninggalkan gawang. Tapi Razali bijak menguis bola ke gawang.

Walaupun corak permainan anak buah Azrai Khor Abdullah lebih tersusun, barisan Perak kental bertahan sehingga wisel penamat. Keputusan itu menyaksikan Kedah kekal di tangga keempat Liga Super dengan 31 mata dan Perak mengumpul 23 mata.

Di Stadium Sultan Mizan, Terengganu yang disuntik semangat selepas mengaibkan Perlis, Sabtu lalu, menjadikan Johor FC sasaran mereka apabila menundukkan pelawat 3-2.

Terengganu bermula garang dan gol yang dinanti hadir pada minit ke-32 apabila Ashaari Shamsudin yang menerima hantaran daripada Manaf Mamat, meledakkan bola ke gawang menggunakan kaki kirinya, menewaskan penjaga gol Johor FC, G Jeevanathan.

Kegirangan tuan rumah tersentak menjelang tamat separuh masa apabila Eddy Helmi Abdul Manan, yang tidak dikawal, mudah menewaskan penjaga gol Terengganu, Md Shabinee Allawee pada minit ke-36.

Ashari bermain cemerlang malam tadi untuk mencatatkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-56 dan 90, manakala gol kedua Johor FC dijaringkan Md Azizan Baba pada minit ke-68.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kelantan menghapuskan badi lima kekalahan berturut-turut apabila menewaskan KL Plus 1-0 hasil jaringan Zairul Fitri pada minit ke-35 bagi mencatat kemenangan pertama di ‘rumah baru’ mereka selepas dilarang beraksi di Stadium Sultan Mohd IV.

FA Cup 2009 Fixtures 25/04/2009 FINAL

HOME AWAY
KELANTAN VS SELANGOR

Padah Kijang, Beraksi Di Stadium Berkecuali

PEMINAT bola sepak Kelantan akhirnya menerima padah gara-gara sikap keterlaluan dan ‘mentaliti kampung’ mereka sendiri.

Selepas bertindak ganas kerana enggan menerima kekalahan 0-1 kepada Negeri Sembilan pada separuh akhir pertama Piala FA kelmarin, peminat Kelantan akhirnya kempunan untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka apabila berdepan Selangor, Sabtu ini.

Ini kerana perlawanan Liga Super yang sepatutnya diadakan di Stadium Sultan Muhamad ke-IV itu telah dipinda ke Stadium Nasional Bukit Jalil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas faktor keselamatan.

Malah, ekoran tindakan ganas peminat fanatik skuad Kijang itu kelmarin, mereka juga mungkin akan terus kempunan untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka itu pada perlawanan berikutnya.

Ada dua kemungkinan yang bakal menanti pasukan Kelantan iaitu sama ada perlawanan yang melibatkan mereka di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV akan diadakan dalam suasana yang kosong atau pun mungkin dipinda ke gelanggang berkecuali.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengakui selain denda, salah satu di antara dua hukuman ini tidak mustahil dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) apabila Jawatankuasa Disiplin bermesyuarat petang ini.

“Buat masa ini kita (FAM) tidak tahu lagi apakah hukuman yang akan dikenakan terhadap Kafa di atas tindakan ganas penyokong fanatik mereka itu,” kata Azzuddin kepada Kosmo! semalam.

“Salah satu di antara dua hukuman ini juga tidak mustahil bakal dikenakan ke atas Kafa. Tapi, apa yang saya boleh jamin ialah setiap hukuman yang dikenakan oleh FAM dinilai berdasarkan betapa seriusnya kesalahan dan impak sesuatu insiden itu.

“Apa pun, saya tidak boleh beritahu hari ini (semalam), kita tunggu saja keputusan JKD yang akan bermesyuarat petang esok (hari ini),” tambah Azzuddin lagi.

Dalam insiden rusuhan yang berlaku di luar Stadium Sultan Muhammad ke-IV itu, 10 buah kenderaan rosak dengan cerminnya dipecahkan termasuk sebuah trak polis yang diterbalikkan sebelum dibakar oleh penyokong ganas Kelantan.

Malah, lebih menyedihkan, suasana di atas padang ketika perlawanan itu juga tercemar dengan sesi sepak terajang di antara pemain Kelantan dan Negeri Sembilan sebaik saja permainan ditamatkan.

Semuanya dikatakan berpunca daripada tindakan penjaga gol tuan rumah, Halim Napi yang menumbuk dan memijak pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak, sekali gus mencetuskan suasana tegang sebelum dileraikan pegawai dan pemain kedua-dua pasukan.

“Saya amat kecewa dengan sikap dan mentaliti sesetengah peminat fanatik ini. Mereka sepatutnya menerima hakikat kekalahan pasukan mereka, bukannya mengamuk seperti ini,” kata Azzuddin.

“Di mana semangat kesukanan mereka? Janganlah kerana mentaliti kita yang kampung ini, orang lain yang tidak terlibat terpaksa menerima akibatnya juga.

“FAM terpaksa bertindak tegas dalam perkara ini supaya ia menjadi pengajaran kepada peminat dan pasukan lain pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Kelantan Lupakan Old Trafford

LUPAKAN hasrat untuk ke Old Trafford dan jangan berangan untuk membawa pulang piala jika aksi malam kelmarin berulang.

Itu suara hati penyokong setia penyokong Kelantan yang sangat kecewa dengan aksi tempang skuad Kijang yang tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di gelanggang sendiri, malam kelmarin.

Kelantan meniti sinar gemilang apabila nama mereka melonjak diawal saingan dengan mencatat enam kemenangan berturut-turut.

Namun, belum pun saingan Liga Super menutup tirai untuk pusingan pertama, aksi Kelantan mula goyah malah dimalukan di depan penyokong sendiri.

Buat pertama kalinya, gelanggang keramat Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, tidak lagi mampu untuk memihak kepada tuan rumah apabila tunduk 1-2 kepada Negeri Sembilan.

Benteng sang Kijang yang sebelum ini memang diketahui agak rapuh, mempamerkan aksi paling buruk sejak kempen Liga Super bagi musim 2009 bermula.

Sebelum ini, jurulatih Kelantan, Peter James Butler sedar mengenai bentengnya yang agak longgar tetapi tidak memandang masalah tersebut sebagai suatu yang kritikal.

Baginya, apa yang penting adalah tiga mata yang mampu dipungut tanpa memikirkan jumlah bolos dan selagi jentera penggempur mampu untuk mencetak gol ia adalah suatu yang baik.

Bagaimanapun, berdasarkan aksi malam kelmarin, Peter James perlu menimbang semula kenyataan tersebut.

Barisan pertahanan Kelantan yang memiliki pemain yang berpengalaman dan berstatus bintang seperti Ahmad Azlan Zainal dan Daudsu Jamaluddin, nampak seperti terlalu mentah.

Persefahaman yang masih kurang, masalah komunikasi, larian yang tidak bertenaga dan kelemahan mengawal pemain lawan merupakan antara ‘lompang’ yang perlu diberi perhatian.

Ramuan terhadap semua masalah tersebut perlu dicari segera oleh Peter James.

Jika tidak, penyokong Kelantan perlu menunggu lagi dan menerima hakikat bahawa musim 2009 bukan lagi tahun yang menjanjikan kebangkitan buat Kelantan.

Bagi penyokong Kelantan, tewas 0-3 ketika menentang Selangor adalah lebih bermaruah berbanding tumpas 1-2 kepada Negeri Sembilan kerana aksi yang tidak bermaya.

Mereka sepakat berpendapat, pasukan Kelantan layak menerima kekalahan tersebut memandangkan mereka memang ‘main untuk kalah’ ketika berdepan pasukan Hoben Jang Hoben itu.

Bagaimanapun, masih ada ruang untuk sang Kijang membaiki semua kelemahan tersebut kerana saingan liga masih panjang.

Ticket Hotline