M.Nasir akui punya pelbagai karakter tapi hanya ‘Satu Wajah’
Oleh AU YEONG HOW

PENYANYI tersohor, M. Nasir berjanji akan menyajikan sesuatu kelainan dalam konsert terbarunya, ‘Konsert Satu Wajah’ bulan hadapan, berbanding dengan Konsert Alam Muzik.
Janjinya, pelbagai tema dan irama akan dipersembahkan dalam persembahannya itu.
“Tidak sama, (tetapi) ada kesinambungan dari konsert saya pada Februari lalu. Tenaganya berbeza. Visualnya lain. Set 3D tidak sama. Keseluruhannya berlainan dengan di Istana Budaya,” ujarnya.
Kata Nasir lagi, dia akan bawa lebih banyak membawa lagu-lagu balada dalam konsertnya kali ini. Pilihan lagu juga akan meliputi adunan lagu baru dan lama serta lagu-lagu artis lain.
“Saya rasa banyak lagu balada yang tak dapat saya nyanyi… yang awak suka tapi saya tak dapat nyanyi (dalam konsert terdahulu). Jadi, saya akan menyanyi lebih banyak lagu balada dalam konsert kali ini,” ujarnya.