Ticket Hotline

Perlis Cuba Pertahan Takhta Liga

PERLIS mengambil alih kedudukan sebagai pendahulu Liga Super.

Ia ekoran kemenangan 1-0 ke atas Kuala Muda Naza (KM Naza) pada aksi di Stadium Darulaman, Alor Setar kelmarin menerusi jaringan Nizaruddin Yusof.

Menariknya, skuad bimbingan Irfan Bakti itu tidak terkejut dengan kejayaan itu kerana mereka memang layak untuk berada di persada liga.

Mereka memang mempunyai sasaran untuk berada di tangga teratas liga selepas menyedari kemampuan yang ada pada barisan pemainnya.

Menurut Irfan, pasukannya tidak mengalami kejutan apabila berjaya berada di kedudukan teratas kerana mereka telah mendapat balasan yang setimpal selepas berusaha untuk memintas pendahulu sebelum ini.

Lagipun katanya, perbezaan mata dengan pendahulu sebelum ini tidak begitu banyak dan yakin untuk memintas.

“Kami berjaya menggunakan kesempatan dengan mencatatkan kemenangan ke atas KM Naza ketika pasukan lain seperti Kelantan dan Selangor mengalami kekalahan.

“Malah peluang berada di puncak liga mungkin akan kekal kerana pemain Perlis telah diingatkan untuk menggandakan usaha bagi mengutip tiga mata penuh pada perlawanan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengenai corak permainan Perlis pada perlawanan itu, Irfan memberitahu, pasukan terbabit sepatutnya dapat menghasilkan lebih banyak jaringan.

Jelasnya, mereka banyak melancarkan serangan tetapi dinafikan dengan tindakan penyudah yang kurang berkesan.

Dia juga menuntut pemainnya agar terus berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada agar rentak mereka lebih bergaya pada perlawanan akan datang.

« Previous Page

Ticket Hotline