Ticket Hotline

Negeri Sembilan Buru Gol


Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak

AYAM tambatan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, bukan sekadar mahu membantu pasukannya menang tapi mahukan kelebihan jaringan selesa dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuala Muda Naza, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Menurutnya, usaha mendapat bekalan yang selesa amat penting dalam memastikan misi mara ke saingan separuh akhir tidak terjejas.

“Dengan kelebihan bermain di halaman sendiri, misi kami bukan saja perlu menang tetapi perlu mendapatkan bekalan gol yang selesa kerana saingan suku akhir kedua pasti sukar apabila bermain di halaman lawan.

“Apa lagi kami pernah tewas kepada pasukan itu dalam aksi di Stadium Darulaman pada saingan Liga Super sebelum ini,” katanya.

Tonggak barisan depan Negeri Sembilan itu berazam untuk menjadi penyumbang utama bagi skuadnya mendapatkan kelebihan gol selepas dia tidak dapat melakukan jaringan dalam dua aksi terakhir peringkat kumpulan iaitu menentang Sarawak dan Terengganu.

Mohd Zaquan yang kini mengumpul enam gol, berharap persembahannya malam ini menjadi kerana sedar harapan yang disandarkan ke bahunya.

“Memang rasa terkilan tidak dapat menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir kumpulan dan sebab itu saya berazam tidak akan mensesiakan peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.

Dia turut berharap rakan sepasukannya dapat meneruskan rentak persembahan terbaik bagi menjamin kemenangan yang diharapkan.

NS Cuba Rebut Takhta Liga Super

PEMAIN tengah Negeri Sembilan, Shukor Adan menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan di Kota Bharu, Selasa lalu sebagai bukti pasukan itu masih berada dalam saingan merebut kejuaraan Liga Super musim ini.

Kapten skuad kebangsaan itu turut menyifatkan kematangan pemain muda pasukannya mengharungi tekanan beraksi di Kota Bharu sebagai faktor utama penyumbang kemenangan penting kelmarin.

“Ia adalah kemenangan penting buat kami kerana kini kami kembali berada di kelompok empat pasukan teratas, sekali gus membuktikan Negeri Sembilan masih mampu mencabar.

“Bagi saya, pujian harus juga diberikan kepada pemain muda kami kerana bukan mudah untuk berdepan Kelantan di tempat mereka yang dibanjiri penyokong fanatik.

“Tetapi semua pemain muda kami tidak menghampakan apabila tetap mampu beraksi dengan tenang walaupun beberapa kali berdepan provokasi penyokong lawan dan ini adalah kemenangan yang akan menyuntik semula semangat kami,” kata Shukor.

Namun, dia berharap rakan sepasukannya mampu mengekalkan aksi konsisten selepas ini memandang jurang antara lima pasukan teratas liga kini tidak begitu jauh.

Shukor mahu rakan sepasukannya menganggap setiap perlawanan adalah penting kerana keputusannya mampu menentukan kedudukan lima pasukan teratas di penghujung musim.

“Saingan musim ini begitu sengit sehingga tidak banyak perbezaan di antara lima pasukan teratas. Oleh itu, kami perlu mengekalkan tahap permainan konsisten selepas ini.

“Kami tidak boleh lagi memandang mudah setiap perlawanan selepas ini dan kami juga harus mengutip sebanyak mata yang boleh selepas ini jika benar-benar mahu menjulang kejuaraan liga, ” katanya lagi.

Ticket Hotline