Perangcangan Karathu Jadi Taruhan Perak

JURULATIH Perak, M. Karathu berkemungkinan hilang jawatannya jika gagal membawa skuad Seladang mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Pada mesyuarat majlis Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) di Ipoh baru-baru ini, badan induk itu telah menetapkan sasaran agar Karathu membawa Perak ke suku akhir.
Naib Presiden Pafa, Khairuddin Ahmad membayangkan bahawa Pafa akan mendapatkan khidmat jurulatih baru pada musim akan datang jika Karathu gagal mencapai sasaran tersebut.
“Dalam mesyuarat majlis Pafa yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum ini, kami telah menetapkan sasaran Perak layak ke suku akhir Piala Malaysia.
“Jadi, kami berharap agar skuad Perak dapat merealisasikan sasaran tersebut,” kata Khairuddin.
Bagaimanapun, sasaran yang ditetapkan oleh Pafa itu akan menjadi cabaran getir kepada Karathu kerana skuad Seladang kini dihimpit beberapa masalah.
Dakwaan yang mengatakan terdapat beberapa pemain Perak menjual perla- wanan selain kerapuhan benteng pertahanan merupakan antara masalah yang perlu ditangani dengan segera oleh Karathu.
Pada kempen Piala Malaysia yang bermula 26 September depan, Perak diletakkan dalam Kumpulan C bersama Johor FC, UPB-My Team dan Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Perak muncul juara Piala Malaysia sebanyak tujuh kali iaitu pada edisi 1926, 1931, 1957, 1967, 1970, 1998 dan 2000.
Gelaran selaku naib juara Piala Malay- sia pula ialah sebanyak 11 kali iaitu bagi edisi 1923, 1951, 1959, 1960, 1961, 1964, 1971, 1972, 1974, 2001 dan 2007.
Perak Semakin Resah Menjelang Piala Malaysia
PERAK resah menjelang saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 26 September depan.
Barisan pertahanan mereka goyah dan ia terus menghadirkan kebimbangan kepada jurulatihnya, M. Karathu.
Karathu mengakui, Perak kekurangan pemain pertahanan berwibawa dan kelemahan tersebut telah terbukti pada saingan liga sebelum ini.
Menurutnya, keadaan itu telah menyebabkan pertahanan skuad Seladang kurang sempurna.
“Kecederaan yang berpanjangan dialami oleh beberapa pemain pertahanan utama menyebabkan saya terpaksa mencari pemain lain bagi menggantikan mereka,” jelas Karathu.
Beliau juga mengakui, Perak sedang mengintai tiga pemain pasukan T-Team Terengganu dan Proton FC dalam usaha memperkukuhkan benteng pertahanannya.
Karathu mengesahkan, Safuan Aidil Shaari dan Azrul Hazram Amaluddin Baki dari T-Team sedang menjadi perhatiannya.
Bagaimanapun katanya, Perak perlu menunggu pelepasan daripada Persatuan Bola sepak Terengganu (PBSNT) untuk mendapatkan kedua-dua pemain berkenaan.
Selain itu, beliau turut mengharapkan untuk mendapatkan khidmat ketua pasukan Proton FC, Mohd. Hazrul Shah Zainal Abidin.
Pada saingan Piala Malaysia, Perak diletakkan dalam Kumpulan C bersama-sama Johor FC, UPB-My Team dan Kuala Lumpur.
Mengulas kedudukan Perak, jurulatih itu mengakui, Perak perlu bekerja keras untuk merebut tempat ke suku akhir.
“Tiga pasukan lain dalam kumpulan ini mempunyai kelebihan tersendiri dan Perak perlu berhati-hati apabila berdepan dengan mereka,” ujar Karathu.
Presiden Perlu Segera Bertindak
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diminta bertindak segera bagi menyelesaikan kemelut tunggakan gaji bekas jurulatih dan pemain Perak.
Ini kerana, pegawai Pafa yang lain tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana perihal kewangan terletak di tangan Presiden Pafa.
Masalah tunggakan gaji itu akan hanya dapat diselesaikan dengan segera jika Mohammad Nizar mampu mencari jalan menanganinya.
Naib Presiden Pafa, Khairuddin Ahmad mengakui, mereka terpaksa menunggu arahan daripada Mohammad Nizar untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.
“Setakat ini, saya tidak menerima sebarang arahan atau pesanan daripada Presiden Pafa berhubung masalah tunggakan gaji ini, jelas Khairuddin kepada Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut perkara berkenaan sambil berkata: “Kita tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya.”
Kelmarin, bekas penolong jurulatih Perak, Mohd. Zakaria Mohamed kesal dengan sikap membisu Pafa yang tidak memberi sebarang reaksi berhubung masalah tunggakan gaji tersebut.
Zakaria berkata, pihaknya telah menghantar tiga pucuk surat kepada Pafa dan salinan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak Disember lalu tetapi tiada sebarang maklum balas daripada PAFA.
Zakaria turut mendakwa, lima bekas pegawai dan 16 pemain Perak musim lalu tidak menerima sebarang bayaran gaji bagi bulan Julai, Ogos, September dan Oktober tahun lalu.