Irfan Senyum Lega
KEHADIRAN semula pemain yang digantung dan mereka yang sebelum ini cedera, jelas melegakan skuad Perlis dalam mengharungi misi penting memastkan tiket ke final apabila menentang Selangor dalam separuh akhir kedua, Sabtu ini.
Biarpun gagal mendapatkan bekalan selesa pada pertemuan pertama apabila seri 1-1 di Kangar, Sabtu lalu, jurulatih skuad Singa Utara, Irfan Bakti Abu Salim, gembira pilihannya kini semakin banyak selepas mereka yang digantung dan cedera, sudah boleh diturunkan.
Mereka yang terpaksa diketepikan sebelum ini adalah Nizaruddin Yusoff dan Amzar Junaidi Abdul Jalil yang masing-masing menjalani penggantungan, serta K Soley dan Mohd Rizduan Othman yang cedera.
“Ini juga berdasarkan prestasi pemain saya selain kemampuan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan berturut-turut termasuk tiga dalam aksi Piala FA,” kata Irfan Bakti.
Pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Utama Negeri, Kangar, 7 April lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan tuan rumah mendahului seawal minit kedua menerusi Mohd Shazwan Zainol sebelum R Surendran menyamakan kedudukan pada minit ke-34.
Pemenang perlawanan itu akan menentang pemenang pertemuan antara Negeri Sembilan dan Kelantan. Negeri Sembilan menang 1-0 dalam perlawanan pertama yang dicemari insiden serangan penjaga gol Kelantan, Halim Napi ke atas Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas perlawanan serta keganasan penonton.
Halim Penyebab Rusuhan
TINDAKAN agresif penjaga gol Kelantan, Mohd. Halim Napi menyerang pemain Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zakuan Radzak sejurus selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA berakhir didakwa menjadi punca berlaku kekecohan di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu berakhir, malam kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, semangat penyokong fanatik Kelantan didakwa bangkit selepas tindakan Mohd. Halim itu sehingga sanggup melakukan rusuhan di luar stadium.
Menurutnya, kawalan keselamatan pada sepanjang perlawanan itu berlangsung terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku.
Katanya, kekecohan mula berlaku selepas perlawanan berakhir pada pukul 10.50 malam apabila seramai kira-kira 3,000 penyokong Kelantan yang juga dipercayai masih tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan separuh akhir pertama Piala FA itu menentang Negeri Sembilan, pasukan yang turut menewaskan mereka 2-1 pada saingan Liga Super pada 31 Mac lalu.
“Anggota polis yang diketuai Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah mengambil masa selama satu jam menasihatkan penyokong-penyokong Kelantan supaya bersurai.
“Sebaliknya penyokong Kelantan bertindak dengan lebih ganas apabila membaling objek keras seperti batu, besi, kayu dan botol air minuman kepada anggota polis.
“Malah kejadian menjadi lebih kecoh apabila mereka bertindak menterbalikkan sebuah trak polis sebelum membakar kenderaan tersebut dan merosakkan sebuah lagi kereta Proton Wira polis,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, semalam.
Pada perlawanan itu, Kelantan tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan hasil jaringan penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha pada minit ketujuh.
Selain itu, Rahim berkata, perusuh itu juga merosakkan lapan buah kenderaan lain termasuk kereta milik Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan memecah cermin stadium.
Bagaimanapun beliau berkata, jumlah kerugian dalam kejadian itu masih dalam siasatan.
Menurutnya, seramai 300 anggota polis termasuk anggota Polis Simpanan Persekutuan (PSP) terlibat mengawal keselamatan di stadium berkenaan.
“Polis terpaksa melepaskan sebanyak 20 das tembakan gas pemedih mata untuk melerai perusuh tersebut.
“Langkah tersebut diambil untuk mengelakkan penyokong Kelantan itu bertindak lebih ganas.”
Abdul Rahim berkata, polis berjaya meleraikan penyokong Kelantan pada pukul 1.45 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, beliau memberitahu, dua anggota polis berusia 24 dan 29 tahun cedera selepas dibaling dengan objek keras dan dipukul serta dipijak oleh penyokong Kelantan.
Menurutnya, seorang peniaga berusia 18 tahun juga cedera akibat terkena tembakan gas pemedih mata.
Mereka mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Sementara itu, tambahnya, polis dijangka mengambil keterangan daripada Mohd. Halim bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Selangor telah ke separuh akhir
PEMAIN Kelantan, Mohd. Zamri Ramli diasak pemain pertahanan UPB-MyTeam Mohamed Aslam Haja pada perlawanan suku akhir Piala FA di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. – MINGGUAN/Hafiz Johari |
KUALA LUMPUR – Naib juara tahun lalu, Selangor mengetuai kemaraan empat negeri ke separuh akhir persaingan bola sepak Piala FA setelah menewaskan Perak 2-0 pada perlawanan kedua suku akhir di Stadium Shah Alam, semalam.
Dua tandukan C. Premnath dan Rudie Ramli pada minit ke-78 dan 90 memastikan Merah Kuning melangkah penuh yakin dengan agregat 4-1 setelah turut menumpaskan Seladang 2-1 dalam suku akhir pertama di Ipoh, Selasa lalu.
Selangor bakal menentang Perlis yang turut layak ke separuh akhir setelah diikat skuad Bawah 20 tahun negara, Harimau Muda tanpa jaringan di Stadium Utama Negeri, Kangar sekali gus membolehkan Singa Utara menang secara agregat 1-0.
Kelantan pula kian hampir untuk meraih piala sulung musim 2009 dengan garang menewaskan kelab Liga Super, UPB-MyTeam 3-1 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu lalu ke separuh akhir menerusi agregat 4-2.
Pelawat yang mengikat anak buah Peter Butler 1-1 di Petaling Jaya, Selasa lalu, bagaimanapun mendahului 1-0 menerusi jaringan penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha pada minit kesembilan.
Namun, tuan rumah ternyata jauh lebih gagah dan masih kebal di gelanggangnya dengan menyamakan dan melebarkan kedudukan menerusi Zamri Ramli pada minit ke-25, Nor Farhan Muhammad (53) dan Badri Radzi (58).
Wira Merah bakal berentap pada separuh akhir dengan Negeri Sembilan yang sekadar diikat tanpa jaringan oleh kelab Liga Perdana, T-Team dari Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.
Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu turut mara secara agregat dengan bekalan satu jaringan daripada keputusan suku akhir pertama di Kuala Terengganu, Selasa lalu.